Setiausaha Agung PBB Beri Amaran Krisis Myanmar Jejas Keselamatan Serantau

HAMILTON, 1 Okt — Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Selasa memberi amaran bahawa krisis di Myanmar mengancam kestabilan serantau serta menjejaskan hak berjuta-juta penduduk, lapor Anadolu Ajansi.

“Krisis ini, yang semakin meruncing sejak pengambilalihan kuasa oleh tentera pada 2021, mencabul hak asasi manusia, maruah dan keselamatan berjuta-juta orang serta mengancam kestabilan serantau,” kata Guterres dalam kenyataan yang dibacakan bagi pihaknya oleh Ketua Kabinet, Courtenay Rattray pada Persidangan Peringkat Tinggi PBB mengenai Situasi Hak Asasi Manusia Rohingya dan Minoriti Lain di Myanmar.

Beliau menegaskan bahawa tidak memadai sekadar mengambil kira status quo. 

“Kita juga mesti memupuk solidariti dan merangka penyelesaian, sambil menekankan bahawa golongan minoriti di Myanmar “telah berdepan puluhan tahun pengasingan, penderaan dan keganasan.”

Menyentuh penderitaan umat Islam Rohingya, Guterres berkata mereka “telah dilucutkan hak kewarganegaraan,” menyebabkan lebih sejuta orang terpaksa mencari perlindungan di Bangladesh.

“Dalam tempoh 18 bulan lalu sahaja, seramai 150,000 Rohingya telah melarikan diri ke Bangladesh yang secara murah hati membuka sempadan dan memberi perlindungan kepada mereka,” katanya.

Guterres turut memberi amaran bahawa “pengurangan besar bantuan telah menjejaskan akses kepada penjagaan kesihatan, menghalang peluang pendidikan dan mata pencarian, malah bantuan makanan berisiko kehabisan pada akhir November.”

Beliau menegaskan bahawa penyelesaian politik yang mampan perlu dicari bagi membentuk masa depan Myanmar yang aman dan inklusif, dengan menekankan tiga perkara utama: menghormati undang-undang kemanusiaan dan hak asasi, akses kemanusiaan tanpa halangan, serta pelaburan dalam bantuan kemanusiaan dan pembangunan.

“Penyelesaian krisis ini akhirnya terletak di Myanmar. 

“Tiada keamanan berkekalan tanpa penghentian permusuhan secara tulen, pengurangan ketegangan dan dialog.

“Rohingya dan seluruh rakyat Myanmar mesti diberi peluang memainkan peranan bermakna dalam proses ini. 

“Mereka berhak mendapat keadilan, maruah dan pulang ke tanah air dengan selamat,” tegas Guterres.