PUTRAJAYA, 7 April — Malaysia dan negara-negara ASEAN perlu membentuk satu kesepakatan dalam isu tarif yang diumumkan Amerika Syarikat (AS) untuk memastikan rundingan dan perbincangan yang bakal dijalankan mempunyai asas yang kukuh, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata meskipun pengumuman tarif oleh Presiden AS Donald Trump dibuat dengan asas yang dipertikaikan, negara-negara ASEAN tidak boleh memandang ringan perkara itu terutamanya dalam suasana ekonomi dan politik dunia yang tidak menentu.
“Semalam saya menjelaskan dengan panjang lebar mengenai keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Menangani Pengumuman Tarif oleh Presiden Trump yang turut dihadiri oleh seluruh Jemaah Menteri.
“Kita tidak boleh pandang ringan walaupun kita tahu ini agak aneh kerana negara yang sebelum ini mendukung semangat perdagangan bebas serta menubuhkan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Perjanjian Am mengenai Tarif dan Perdagangan (GATT) iaitu negara-negara kaya seperti Amerika Syarikat – kini mengambil langkah berbeza.
“Inilah yang saya maksudkan sebagai ‘post normal times’ apabila dasar politik dan ekonomi dilaksanakan secara tidak dijangka termasuk pengumuman tarif dengan asas yang sangat lemah,” kata beliau pada Majlis Perjumpaan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.
Tinggalkan Balasan