Taufan Chandra: Sekolah Ditutup, Puluhan Ribu Tanpa Bekalan Elektrik Di Ireland

DUBLIN, 27 Jan — Ratusan sekolah ditutup dan puluhan ribu penduduk terputus bekalan elektrik apabila Taufan Chandra melanda pulau Ireland.

Kawasan itu turut mengalami gangguan perjalanan akibat angin kencang dan hujan lebat.

Di Ireland Utara, lebih 300 sekolah ditutup dan amaran kuning untuk hujan dikuatkuasakan bagi daerah Armagh, Down, Fermanagh, Londonderry dan Tyrone.

Terdapat juga amaran jingga untuk angin sehingga 9 malam (2100 GMT), manakala amaran kuning untuk hujan berkuat kuasa sehingga tengah malam.

Sekurang-kurangnya 30 penerbangan di Lapangan Terbang Bandaraya Belfast dibatalkan pada Selasa.

Translink menasihatkan penumpang agar mengambil kira kemungkinan kelewatan dan gangguan perjalanan.

Orang ramai diingatkan mengenai bahaya yang boleh mengancam nyawa daripada serpihan yang diterbangkan, ombak besar di pesisir pantai, gangguan perjalanan, kerosakan bangunan, banjir, pokok tumbang serta kemungkinan gangguan bekalan elektrik.

Northern Ireland Electricity melaporkan kira-kira 10,000 premis kini terputus bekalan elektrik.

Menurut polis,  hujan berterusan menyebabkan beberapa jalan dinaiki air.

Di Republik Ireland, Electricity Supply Board (ESB) memaklumkan kira-kira 20,000 rumah, ladang dan perniagaan kini tanpa bekalan elektrik.

Dublin Fire Brigade pula memaklumkan yang pihaknya bertindak balas terhadap beberapa kejadian banjir di bandar itu.

Amaran hujan Status Kuning berkuat kuasa sehingga 11 malam untuk Carlow, Kilkenny, Louth, Wexford, Wicklow dan Waterford.

Seluruh negara juga masih berada di bawah amaran angin Status Kuning.

Operator kereta api nasional Ireland, Iarnrod Eireann, melaporkan gangguan perkhidmatan DART dan beberapa perkhidmatan feri antara Dublin dan Holyhead turut dibatalkan.

Lapangan Terbang Dublin turut memaklumkan kemungkinan pembatalan penerbangan.