Tiga Maut Dalam Rempuhan Ketika Perayaan Popular Di Sebuah Kuil, Di India

NEW DELHI, 29 Jun — Sekurang-kurangnya tiga orang maut manakala ramai lagi cedera dalam insiden rempuhan pada Ahad ketika sambutan perayaan tahunan kereta kuda di sebuah kuil di negeri Odisha, timur India.

Insiden berlaku berhampiran Kuil Gundicha di Puri semasa “Rath Yatra” apabila ribuan penganut Hindu berhimpun untuk menyaksikan acara yang membawa Dewa Jagannath, Balabhadra dan Subhdra diarak menggunakan kereta kuda.

Ketua Menteri Odisha Mohan Charan Majhi dalam hantaran di platform media sosial X berkata kerajaan akan menyiasat kelemahan yang menyebabkan insiden itu dan memohon “keampunan” daripada para penganut.

Menurut laporan media tempatan, jumlah korban ialah tiga orang manakala 50 lagi cedera.

Insiden pada Ahad itu berlaku selepas kekecohan pada Sabtu apabila ratusan penganut di Puri dikejarkan ke hospital akibat masalah seperti pengsan, muntah dan kecederaan ketika orang ramai berpusu-pusu dalam cuaca panas dan lembap.

Pemimpin pembangkang India turut mempersoalkan pengurusan orang ramai dan langkah keselamatan di Puri.

Insiden rempuhan di perhimpunan besar di India bukan sesuatu yang luar biasa.

Puluhan penziarah maut dalam insiden rempuhan pada perayaan Maha Kumbh di Prayagraj, negeri Uttar Pradesh pada Januari tahun ini.

Sekurang-kurangnya 120 orang maut dalam insiden rempuhan di Daerah Hathras, Uttar Pradesh pada satu perhimpunan pada Julai 2024.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda