Amalan perlindungan sepihak seperti pelaksanaan tarif tambahan semakin menghakis pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), kata Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Fu Cong.
Beliau menggesa agar semua bentuk tindakan paksaan sepihak yang menghalang negara membangun daripada mencapai pembangunan sosioekonomi menyeluruh segera dibatalkan.
Gesaan itu dibuat Fu ketika membacakan kenyataan bersama mewakili 83 negara anggota Kumpulan Rakan Inisiatif Pembangunan Global (GDI) dalam debat umum mesyuarat peringkat menteri Forum Politik Peringkat Tinggi SDG (HLPF) 2025 yang berlangsung pada Isnin.
Fu berkata pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan 2030 kini terbantut dan menghadapi kekurangan modal yang semakin serius. Pada masa sama, amalan unilateralisme dan fahaman perlindungan turut mengancam kerjasama multilateral.
Duta China itu menyeru masyarakat antarabangsa berdiri teguh memelihara multilateralisme, memperkasa solidariti dan kolaborasi, menambah baik sistem tadbir urus ekonomi global serta menghidupkan semula momentum pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan 2030.
Pembangunan perlu sentiasa diletakkan sebagai teras agenda PBB, katanya sambil menambah pembangunan bersama dan manfaat bersama harus menjadi matlamat dikejar semua negara tatkala berdepan pelbagai cabaran.
Tinggalkan Balasan