SAMARKAND, 22 Jun –Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof tiba di Stesen Keretapi Laju Samarkand, Uzbekistan hari ini bagi menghadiri Forum Perkhidmatan Awam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2025, yang dijadual berlangsung esok.
Ketibaan Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air disambut Timbalan Menteri Tenaga Uzbekistan Umid Mamadaminov dan Timbalan Gabenor Wilayah Samarkand Rustam Kobilov.
Fadillah dijadual menyampaikan ucaptama pada forum berkenaan untuk berkongsi pengalaman Malaysia dalam usaha mentransformasi sistem penyampaian perkhidmatan awam.
Forum Perkhidmatan Awam PBB di Samarkand berlangsung dari 23 hingga 25 Jun, dan dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Ekonomi dan Sosial PBB (UN DESA) dengan kerjasama Kerajaan Uzbekistan.
Forum itu memberi tumpuan kepada keperluan mendesak bagi mempercepat kemajuan dalam bidang pentadbiran awam dan penyampaian perkhidmatan dalam usaha mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Tinggalkan Balasan