ISTANBUL, 8 Dis — Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Ahad mendakwa beliau telah menamatkan lapan perang dengan menggunakan langkah perdagangan dan tarif sebagai tekanan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Saya telah menamatkan lapan perang, sebahagian besarnya melalui perdagangan dan tarif,” katanya kepada pemberita ketika tiba di Pusat Kennedy di Washington DC.
Trump mempertahankan pendekatan tarifnya sebagai lebih baik bagi tujuan keselamatan negara.
“Jika kita menggunakan laluan tarif yang lain, dan memang ada pilihan lain yang boleh diambil, ia tidak akan memberi keselamatan negara yang sama seperti cara ini,” katanya. “Cara ini pantas dan sangat berkuasa.”
Ditanya mengenai kebimbangan bahawa hasil tarif seharusnya digunakan untuk mengurangkan hutang negara dan bukannya membiayai dividen, Trump berkata: “Kita akan lakukan. Saya bersetuju. Tetapi saya juga fikir kita memperoleh begitu banyak hasil melalui tarif sehingga kita juga dapat menyediakan dividen yang baik kepada golongan berpendapatan sederhana … dan berpendapatan rendah.”
Trump sebelum ini mencadangkan penggunaan hasil tarif untuk membiayai “dividen tarif US$2,000” sebagai bayaran terus kepada kebanyakan rakyat Amerika, namun Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent menyatakan dividen itu “boleh hadir dalam pelbagai bentuk” dan bukan semestinya cek.
Terdahulu di platform Truth Social miliknya, Trump menulis bahawa kaedah tarif yang sedang dipertimbangkan Mahkamah Agung AS ketika ini adalah “lebih langsung, kurang membebankan dan jauh lebih pantas” berbanding alternatif lain.
“Kelajuan, kekuatan dan kepastian sentiasa menjadi faktor penting untuk menyelesaikan tugas dengan cara yang berkekalan dan berjaya,” katanya.














Tinggalkan Balasan