Trump Tandatangan Perintah Sahkan Perjanjian TikTok Penuhi Kehendak Keselamatan AS

WASHINGTON, 26 Sept — Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Khamis menandatangani perintah eksekutif yang mengesahkan perjanjian pemindahan operasi TikTok di AS kepada konsortium Amerika memenuhi syarat keselamatan negara yang ditetapkan undang-undang domestik, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Perintah itu, yang turut melanjutkan tempoh moratorium larangan TikTok di AS selama 270 hari seperti digariskan undang-undang, merupakan antara langkah terakhir sebelum perjanjian itu dimuktamadkan.

Trump berkata dalam panggilan telefon minggu lalu, Presiden China Xi Jinping telah memberi persetujuan terhadap perjanjian berkenaan.

“Saya berbual dengan baik dengan Presiden Xi — saya amat menghormatinya. Harapnya beliau juga menghormati saya. Kami berbincang mengenai TikTok dan perkara lain, tetapi kami bercakap tentang TikTok dan beliau memberi kebenaran kepada kami,” kata Trump kepada wartawan di Pejabat Oval.

Seorang pegawai kanan Rumah Putih memaklumkan awal minggu ini bahawa selepas perintah itu ditandatangani, ByteDance akan memeterai perjanjian rangka kerja dengan sekurang-kurangnya seorang pelabur pengurusan dalam konsortium baharu, sementara proses semakan kawal selia dilengkapkan.

Berdasarkan terma perjanjian, pegangan ByteDance akan berkurangan kepada bawah 20 peratus bagi memastikan pematuhan undang-undang AS yang diluluskan Kongres tahun lalu, yang mengancam untuk menyekat aplikasi itu di AS melainkan perubahan besar dilakukan termasuk penjualan operasi TikTok di negara itu, menurut pegawai itu.

Mengikut undang-undang, TikTok perlu dimiliki syarikat AS atau disekat penggunaannya di negara itu.

Trump berkata konsortium pelabur itu terdiri daripada syarikat teknologi Oracle, Michael Dell, Rupert Murdoch dan beberapa individu lain.

“Kami ada mungkin empat atau lima pelabur bertaraf dunia yang benar-benar cintakan negara ini.

“Mereka juga memperoleh banyak keuntungan daripadanya,” katanya.

Naib Presiden AS JD Vance berkata syarikat baharu milik Amerika itu akan bernilai sekitar US$14 bilion.