Utusan Khas China bagi Isu Timur Tengah Bertemu Setiausaha Agung GCC

Utusan khas China bagi isu Timur Tengah, Zhai Jun mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Jassim Mohammed Al-Budaiwi di Riyadh, Arab Saudi pada Ahad.

Dalam pertemuan itu, Al-Budaiwi menyatakan bahawa ketegangan yang semakin meruncing di rantau berkenaan membawa ancaman serius kepada keselamatan dan kestabilan global, serta tidak selaras dengan kepentingan mana-mana pihak.

Beliau berkata GCC komited memperkukuh komunikasi dan penyelarasan dengan China bagi membantu meredakan ketegangan.

Sementara itu, Zhai Jun berkata China mendesak pihak terbabit supaya menghentikan serangan serta-merta bagi mengelakkan situasi bertambah buruk, dan kembali ke meja rundingan secepat mungkin.

Ujarnya China akan terus memainkan peranan yang konstruktif bersama GCC dan negara-negara Teluk bagi mendorong perdamaian dan menamatkan konflik di rantau berkenaan.