Wan Rosdy Ketuai Delegasi Malaysia Ke Forum Ketua Menteri, Gabenor IMT-GT Di Thailand

KUANTAN, 3 Sept — Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengetuai delegasi Malaysia ke Forum Ketua Menteri dan Gabenor (CMGF) Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) yang berlangsung di Trang, Thailand bermula semalam.  

Wan Rosdy berkata kepercayaan yang diberikan untuk mengetuai delegasi Malaysia membuktikan Pahang diiktiraf di peringkat ASEAN dan antarabangsa.

Beliau berkata forum berkenaan membolehkan negara berkongsi pandangan, menangani cabaran bersama dan merangka hala tuju masa depan. 

“Sejak ditubuhkan pada 1993, IMT-GT telah menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama serantau, bukan sahaja dalam pembangunan ekonomi, malah juga dalam keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini. 

Sementara itu, beliau berkata pihaknya turut menekankan kepentingan bidang utama seperti memperkukuh infrastruktur, transformasi digital, pembangunan mampan serta kesalinghubungan rakyat ke rakyat.

“Saya turut menyentuh lima projek pembangunan utama di Pahang iaitu pembangunan berorientasikan transit (TOD) dan pelaksanaan projek pemecut ekonomi (LEAPs) di tujuh stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Gebeng sebagai Taman Perindustrian Halal serantau selain pembangunan industri daging lembu Wagyu dan tenusu,” katanya. 

Selain itu, Wan Rosdy berkata beliau turut memfokuskan promosi “Visit Pahang” bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan pembangunan Geopark Lipis ke arah pengiktirafan sebagai Geopark Global Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). 

“Inilah kunci untuk menjadikan rantau kita lebih berdaya saing, inklusif dan makmur. Saya percaya dengan kebijaksanaan serta kerjasama semua pihak, IMT-GT mampu membuka potensi penuh rantau ini demi kesejahteraan rakyat dan generasi akan datang,” katanya.