Wang Yi Bertemu Sergei Lavrov di Moscow

Menteri Luar China, Wang Yi mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Rusia, Sergei Lavrov di Moscow pada Selasa.

Dalam pertemuan tersebut, Wang menekankan bahawa di bawah bimbingan strategik Presiden Xi Jinping dan Presiden Vladimir Putin, hubungan China-Rusia berkembang pada tahap tinggi dan berkualiti secara menyeluruh.

Wang turut memuji keputusan Putin baru-baru ini yang menandatangani perintah pengecualian visa untuk warga China, sebagai langkah penting untuk memudahkan pertukaran antara rakyat selain memperluaskan kerjasama dua hala.

Ujarnya, China bersedia bekerjasama dengan Rusia bagi melaksanakan dasar bebas visa itu secara berkesan.

Sementara itu Lavrov berkata, pertukaran lawatan pemimpin tertinggi kedua-dua negara pada tahun ini telah menyuntik momentum baharu bagi memperkukuh hubungan perkongsian strategik komprehensif untuk koordinasi antara Rusia dengan China.

Beliau turut mengulangi sokongan tegas Rusia terhadap prinsip satu China dan pendirian China berhubung soal Taiwan.

Sempena ulang tahun ke-25 pemeteraian Perjanjian Kerjasama Persahabatan dan Jiran Baik China-Rusia pada tahun depan, Lavrov menyatakan kesediaan Rusia untuk meningkatkan pertukaran peringkat tinggi, memperdalam kerjasama pragmatik dan memperkukuh hubungan antara rakyat bagi manfaat bersama.