Majlis memperingati ulang tahun ke-80 Kemenangan Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun dan Perang Anti-Fasis Dunia, berlangsung dalam suasana penuh takzim di Dataran Tian’anmen di Beijing, pagi Rabu.
Presiden China, Xi Jinping yang juga Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) dan Pengerusi Suruhanjaya Ketenteraan Pusat menyampaikan ucaptama sempena majlis berkenaan.
Berikut teks ucapan penuh Presiden Xi Jinping:
Rakan-rakan senegara,
Tuan Yang Terutama ketua-ketua negara dan kerajaan serta wakil-wakil pertubuhan antarabangsa,
Dif-dif yang dihormati,
Semua pegawai dan askar yang menyertai perbarisan,
Komrad dan rakan-rakan sekalian,
Hari ini kita berhimpun di sini untuk memperingati ulang tahun ke-80 kemenangan Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun dan Perang Anti-Fasis Dunia, bersama-sama mengingati sejarah, mengenang pahlawan, menghargai keamanan dan mencipta masa depan.
Saya mewakili Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China, Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan, Dewan Negara, Jawatankuasa Kebangsaan Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China dan Suruhanjaya Ketenteraan Pusat menyampaikan penghormatan tertinggi kepada semua veteran, komrad, patriot dan pegawai tentera yang pernah terlibat dalam Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun, serta seluruh rakyat China di dalam dan luar negara yang menyumbang kepada kemenangan perang tersebut.
Saya ingin menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih yang tulus ikhlas kepada kerajaan dan rakan-rakan asing yang menyokong dan membantu rakyat China dalam perjuangan menentang pencerobohan.
Saya juga mengalu-alukan kehadiran semua tetamu asing pada majlis peringatan hari ini.
Komrad dan rakan-rakan sekalian,
Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun satu perjuangan mulia yang penuh onak dan ranjau.
Di bawah panji barisan bersatu melibatkan seluruh bangsa yang ditubuhkan atas inisiatif Parti Komunis China, rakyat China mencurahkan sepenuh jiwa dan raga untuk melawan musuh dan mempertahankan negara, sehingga meraih kemenangan mutlak pertama dalam melawan pencerobohan luar sejak memasuki zaman moden.
Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun merupakan komponen penting dalam Perang Anti-Fasis Dunia. Dengan pengorbanan yang amat besar, rakyat China memberi sumbangan yang signifikan untuk menyelamatkan tamadun manusia dan memelihara kedamaian dunia.
Sejarah membawa iktibar bahawa manusia sejagat berkongsi nasib. Hanya apabila semua negara dan bangsa melayan satu sama lain secara sama rata, hidup berdampingan secara harmoni dan saling membantu, barulah dapat menjaga keselamatan bersama, menghapuskan punca berlakunya peperangan, dan mengelak tragedi berdarah dalam sejarah daripada berulang.
Komrad dan rakan-rakan sekalian,
Bangsa China tidak gentar akan sebarang kekerasan, sentiasa berdikari dan bermandiri. Pada ketika itu, tatkala berdepan perlawanan antara yang adil dan yang jahat, yang terang dan yang gelap serta yang progresif dan yang kolot, rakyat China sehati sejiwa bangkit menentang musuh, berjuang demi kelangsungan negara, kebangkitan bangsa dan keadilan manusia sejagat.
Hari ini, umat manusia sekali lagi berhadapan dengan pilihan antara kedamaian dan perang, antara dialog dan konfrontasi, antara sama menang dan campur tolak. Rakyat China berdiri teguh di sisi betul dalam sejarah, di sisi kemajuan tamadun manusia, komited menempuh jalan pembangunan secara damai dan berganding bahu dengan rakyat seluruh dunia untuk membina komuniti berkongsi nasib sesama insan.
Tentera Pembebasan Rakyat China merupakan tentera perwira yang boleh dipercayai sepenuhnya oleh Parti dan rakyat.
Semua anggotanya perlu sentiasa setia kepada tugasan yang diamanahkan, berusaha mengetengahkan diri sebagai angkatan tentera kelas pertama dunia, tegas memelihara kedaulatan, penyatuan dan keutuhan wilayah negara, sekali gus memberi sokongan strategik kepada usaha mewujudkan kebangkitan bangsa serta memberi sumbangan lebih besar untuk kedamaian dan pembangunan dunia.
Sejarah merekodkan masa silam dan juga mencetuskan inspirasi untuk masa depan.
Dalam perjalanan pada era baharu, di bawah pimpinan Parti Komunis China, rakyat pelbagai etnik di seluruh negara harus berpegang kepada Marxisme-Leninisme, Pemikiran Mao Zedong, Teori Deng Xiaoping, pemikiran penting ‘Tiga Mewakili’ dan Gagasan Pembangunan Secara Saintifik, melaksanakan sepenuhnya pemikiran mengenai sosialisme bercirikan China pada era baharu, teguh menempuh jalan sosialisme bercirikan China, mewaris dan menyemarakkan semangat juang menentang pencerobohan, bersatu padu memacu pembinaan negara kuat dan kebangkitan bangsa menerusi modenisasi ala China.
Kebangkitan gemilang bangsa China tidak dapat dihalang. Perjuangan mulia demi kedamaian dan pembangunan manusia pasti berjaya.
Tinggalkan Balasan