Presiden China Xi Jinping mengadakan lawatan ke Bank Pembangunan Baharu (NDB) di Shanghai dan bertemu ketua bank itu, Dilma Rousseff pada Selasa.
Xi berkata NDB merupakan institusi pembangunan multilateral pertama yang ditubuhkan dan diterajui oleh negara pasaran baru muncul dan negara membangun.
Ia juga satu inisiatif rintis demi perpaduan dan pengukuhan Selatan Global sejajar dengan trend pembaharuan dan penambahbaikan tadbir urus global.
Xi turut menzahirkan kesediaan China untuk memperkasa kerjasama projek dengan NDB dengan memberi tumpuan kepada pembangunan hijau, inovatif dan lestari.
China juga sedia berkongsi pengalaman pembangunan dan menawarkan lebih banyak produk awam antarabangsa menerusi NDB, tambah beliau.
Menurut beliau lagi, Selatan Global bangkit secara kolektif sehingga menjadi tenaga penting dalam memelihara kedamaian dunia, memacu pembangunan bersama dan menambah baik tadbir urus global.
Rousseff merakamkan terima kasih atas sokongan kukuh yang diberikan China kepada perkembangan NDB selama ini.
Beliau berkata tatkala dunia berdepan ketidaktentuan dewasa ini, China menjadi teladan kepada masyarakat antarabangsa dengan berdiri teguh memelihara kepentingan Selatan Global, menyokong multilateralisme, mempertahankan keadilan antarabangsa dan mendorong pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan.
Kata beliau, NDB berikrar mengekalkan aspirasi asal dan terus mengambil langkah proaktif untuk menyumbang kepada pembangunan negara membangun dan negara pasaran baru muncul.
Tinggalkan Balasan