China dan Amerika Syarikat (AS) dapat mencapai kejayaan dan kemakmuran bersama, untuk memberi manfaat kepada kedua-dua negara dan dunia.
Demikian kata Presiden China, Xi Jinping pada Jumaat dalam perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari AS, Donald Trump.
Xi menyifatkan hubungan China-AS sebagai sangat penting. Beliau mencadangkan kedua-dua pihak bergerak sehaluan dengan sikap saling menghormati, hidup bersama secara damai dan bekerjasama untuk mewujudkan situasi sama menang.
Xi berkata, kumpulan perunding kedua-dua negara telah melakukan rundingan berdasarkan semangat sama rata, saling menghormati dan demi manfaat bersama, dan dipercayai boleh terus berhemah mengendalikan isu-isu yang menonjol dalam hubungan dua hala untuk mewujudkan situasi sama menang.
Beliau juga mencadangkan pihak AS perlu mengelakkan sekatan perdagangan unilateral bagi mengelakkan tamparan kepada pencapaian yang dilakar kedua-dua pihak melalui perbincangan banyak pusingan.
Xi berkata pendirian China dalam isu Tiktok adalah jelas. Kerajaan China menghormati aspirasi syarikat dan menyambut baik rundingan perniagaan yang selaras dengan peraturan pasaran dan penyelesaian yang mematuhi undang-undang dan peraturan China.
Trump pula menyatakan, kerjasama AS-China kondusif untuk keamanan dan kestabilan dunia. Pihak AS berharap mengekalkan hubungan baik dengan China untuk jangka panjang, selain bersedia memperkasakan kerjasama ekonomi dan perdagangan kedua-dua negara, dan terus menyokong perbincangan bagi menyelesaikan isu Tiktok.
Trump juga menambah, pihaknya bersedia bekerjasama dengan China untuk memelihara keamanan dunia.
Tinggalkan Balasan