Yunus Seru Konglomerat Malaysia Melabur Di Bangladesh

KUALA LUMPUR, 14 Ogos — Ketua Penasihat Bangladesh, Prof Dr Muhammad Yunus pada Rabu menggesa konglomerat utama Malaysia supaya melabur dalam sektor perumahan mampu milik, pelabuhan, kesihatan dan pendidikan di Bangladesh.

Menurut Bangladesh Sangbad Sangstha (BSS), gesaan itu disampaikan semasa siri pertemuan di Kuala Lumpur dengan beberapa tokoh korporat terkemuka Malaysia.

Prof Yunus mengundang Pengerusi dan Pengasas Sunway Group, Tan Sri Jeffrey Cheah untuk melabur dalam pembinaan perumahan mampu milik di Bangladesh, khususnya bagi menampung peningkatan bilangan pekerja kilang yang tinggal berhampiran taman perindustrian dan zon ekonomi.

“Sekarang adalah masa untuk melabur di Bangladesh,” kata Prof Yunus sambil menekankan pelbagai pembaharuan yang dilaksanakan oleh kerajaannya bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih mesra pelabur.

Pengerusi Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Bangladesh (BIDA) Chowdhury Ashik Mahmud Harun, menegaskan keperluan mendesak terhadap pelaburan berskala besar dalam sektor perumahan dan pembinaan, terutamanya di wilayah tenggara yang sedang membangunkan pelabuhan dan zon ekonomi baharu.

“Bangladesh sedang menyaksikan pembandaran pesat. Kami memerlukan pelaburan besar untuk membina rumah dan kemudahan bagi berjuta-juta pekerja serta penduduk bandar baharu,” katanya.

Beliau turut menggalakkan Sunway Group, iaitu antara penyedia perkhidmatan kesihatan terbesar di Malaysia untuk menubuhkan hospital di Bangladesh.

Cheah dalam reaksinya berkata syarikatnya akan meneroka peluang perniagaan di negara itu.

Beliau turut menyatakan minat untuk menawarkan biasiswa kepada pelajar Bangladesh, sambil memaklumkan bahawa puluhan ribu warga Bangladesh kini bekerja di bahagian pembinaan dan perumahan Sunway.

Dalam pertemuan berasingan, tokoh korporat Malaysia Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary menyatakan komitmennya untuk menyokong Bangladesh melalui pelaburan.

“Ia bukan sekadar untuk keuntungan; kami mahu melakukannya demi rakyat Bangladesh,” katanya dalam pertemuan dengan Prof Yunus.

Syed Mokhtar turut menekankan keperluan pemindahan yang bertanggungjawab dalam projek melibatkan pembangunan sungai dan komuniti nelayan.

Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap potensi tenaga solar di Bangladesh serta minat kumpulannya dalam bidang tenaga boleh diperbaharui serta keterjaminan makanan.