KUALA LUMPUR, 28 Jun — Bantuan segera akan disalurkan kepada semua mangsa kebakaran yang memusnahkan 23 buah rumah dan premis di Kampung Bagan Pasir Laut, Hutan Melintang, Bagan Datuk, awal pagi ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau telah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut dan pegawai daripada pejabatnya telah segera turun padang untuk menyantuni semua keluarga yang terjejas.
“Insya-Allah, bantuan segera akan disalurkan dan setiap mangsa akan diberi perhatian serta sokongan yang sewajarnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk turut merakamkan setinggi penghargaan kepada semua pihak terutamanya pasukan bomba, anggota keselamatan dan para sukarelawan, yang terlibat dalam usaha menyelamat dan mengawal keadaan.
“Tindakan pantas dan semangat kebersamaan yang ditunjukkan amat dihargai. Doa saya bersama semua mangsa. Semoga mereka dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian yang berat ini,” katanya.
Dalam kejadian 4.30 pagi itu, sebanyak 23 premis musnah membabitkan 19 rumah kelas B dan C yang masing-masing dianggarkan seluas 92.9 meter persegi, sebuah rumah ibadat bukan Islam, dua kedai makan dan sebuah kedai runcit, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Pasukan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Tinggalkan Balasan