BDIFIP: Beri Lesen Perikanan Laut Dalam Kepada Rakyat Tempatan – Ahmad Zahid

BAGAN DATUK, 14 Jun — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu lesen memunggah kekayaan khazanah laut dalam di bawah projek Taman Perindustrian Perikanan Antarabangsa Bagan Datuk (BDIFIP) diberikan kepada rakyat tempatan terutamanya dari Perak.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata Jabatan Perikanan boleh mendapatkan bantuan daripada pihak Perbadanan Menteri Besar (MB Inc), untuk mencari pengusaha yang berpotensi diberi sewaan lesen di bawah projek bernilai RM2 bilion itu.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata beliau akan bekerjasama dengan institusi kewangan, untuk memastikan nelayan yang layak diberikan bantuan atau pinjaman kewangan, sekali gus memberi keseimbangan manfaat antara pelabur asing dan masyarakat tempatan.

“Barulah ada keseimbangan dan kita sebagai rakyat Malaysia khususnya rakyat Perak tidak hanya melihat di atas kertas atau di awang-awangan, dan kita hanya kerja dalam sektor yang gaji minimumnya RM1,700,” katanya pada Majlis Prapelancaran BDIFIP, di sini hari ini.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berharap pekerja tempatan di BDIFIP nanti, tidak hanya diberikan gaji minimum, sedangkan pelabur asing yang melabur untuk projek itu memberikan gaji berlipat kali ganda kepada pekerja dalam bidang sama di negara mereka.

“Jangan perah keringat anak rakyat tempatan dan kita mesti tahu bahawa kita mesti dapat gaji yang seimbang, terutama mereka yang berketerampilan, yang dapat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

“Saya akan memantau secara peribadi  perkembangan kawasan industri ini dan saya mahu masa yang ditentukan diikuti dengan sepenuhnya,” katanya.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut menyaksikan sesi pertukaran Dokumen Perjanjian antara MB Inc. Perak dan Younchang Engineering & Construction (M) Sdn Bhd, serta sesi menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Younchang Engineering dan MingCheng Group Co Ltd, yang membuka laluan kerjasama antarabangsa lebih luas dalam ekosistem pelaburan projek itu.

Terdahulu, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad memaklumakn projek BDIFIP yang melibatkan pelaburan bernilai lebih RM2 bilion, akan dibangunkan secara berfasa bermula 2027 di kawasan seluas 126.4 hektar.

Projek itu dijangka melonjakkan Bagan Datuk sebagai hab perdagangan makanan laut bertaraf antarabangsa.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda