Johari Laksana Tugas, Fungsi Menteri Sumber Asli Dan Kelestarian Alam – KSN

PUTRAJAYA, 11 Julai — Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani diberi tanggungjawab menjalankan tugas dan fungsi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Setiausaha Negara yang juga Setiausaha Jemaah Menteri Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam kenyataan hari ini berkata perkara itu dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dimaklumkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 9 Julai.

Pada 28 Mei lepas, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan beliau meletak jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkuat kuasa pada 4 Julai.

Nik Nazmi, 43, berkata sejak menerajui Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim pada Disember 2022 dan kemudian Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, beliau telah berusaha sebaik mungkin untuk melaksanakan reformasi yang amat diperlukan.

Antara kejayaan dicapai ialah meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan peningkatan ketelusan dalam laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

Sebelum ini, Nik Nazmi dilaporkan berkata kegagalan mempertahankan jawatan Naib Presiden pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini juga telah mendorong beliau memutuskan untuk melepaskan jawatan sebagai menteri.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda