KUALA LUMPUR, 24 Okt — Penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 oleh Malaysia yang bakal menyaksikan kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Perdana Menteri China Li Qiang dilihat sebagai medan ujian terhadap kredibiliti, perpaduan dan keseimbangan diplomatik badan serantau berkenaan.
Kehadiran kedua-dua pemimpin dunia itu dijangka mengubah sidang kemuncak berkenaan menjadi pentas penting untuk menguji prinsip asas, iaitu Kepusatan ASEAN dalam persekitaran persaingan strategik yang mencabar antara Washington dan Beijing.
Pensyarah Jabatan Sains Politik dan Pengajian MADANI Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Profesor Dr Zainal Abidin Sanusi berkata kekuatan ASEAN bukan terletak dengan menyebelahi mana-mana pihak, sebaliknya bersandarkan kemampuan merapatkan jurang dan memperkukuh kerjasama.
“Sidang kemuncak kali ini bakal menentukan sama ada ASEAN masih berupaya memainkan peranannya sebagai platform paling dipercayai dunia untuk dialog dan kerjasama,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata penyertaan dua pemimpin utama kuasa dunia itu turut mengesahkan kedudukan penting ASEAN sebagai platform dialog dan menangani konflik.
Zainal Abidin berkata dalam ketegangan suasana global dan peralihan pakatan, sidang kemuncak kali ini akan memperlihatkan sama ada ASEAN mampu bertindak sebagai pemudah cara yang neutral dan mampan dalam dunia polarisasi yang semakin meningkat.
Beliau berkata sidang kemuncak itu bukan sahaja akan menyerlahkan lagi kecekapan diplomatik ASEAN, tetapi juga dari sudut kepaduan moral serta keupayaan berinteraksi dengan semua rakan tanpa terjebak dalam persaingan kuasa.
“Kemampanan ASEAN bergantung pada keseimbangan, keupayaan memelihara keamanan sambil memperkukuh kemakmuran. Maka, di sinilah kepimpinan Malaysia melalui pendekatan yang pragmatis dan berprinsip menjadi amat penting,” katanya.
Kehadiran Trump dan Li juga memberikan peluang berharga kepada ASEAN untuk membuktikan bahawa kerjasama boleh dipupuk melalui komitmen bersama terhadap tanggungjawab dan kemampanan.
Justeru, beliau berkata Malaysia wajar merebut peluang ini untuk menggerakkan inisiatif “ASEAN Sustainability Compact” yang menghubungkan pertumbuhan ekonomi dengan pemuliharaan alam sekitar dan daya tahan sosial.
Bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, Zainal Abidin berkata Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 berhasrat menggabungkan elemen kelestarian alam sekitar, ekonomi dan sosial dalam agenda jangka panjang ASEAN, sejajar dengan visi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan berteraskan nilai.
“Sidang kemuncak berkenaan menyediakan peluang memajukan ekonomi hijau, transformasi digital dan pertumbuhan yang adil di samping memperkukuh kestabilan serantau melalui kerjasama dengan kedua-dua kuasa dunia itu,” katanya.
Zainal Abidin berkata untuk mengimbangi hubungan antara Washington dan Beijing, ASEAN perlu mengemudikan persaingan antara AS dan China menerusi kekuatan kolektif dan kebijaksanaan.
“ASEAN tidak wajar dilihat sebagai alat percaturan politik untuk kuasa dunia itu sebaliknya sebagai wadah kepimpinan bersama,” katanya.
Beliau berkata apabila rantau Indo-Pasifik dilihat semakin berpecah, perpaduan ASEAN serta keupayaannya menonjolkan moral dan diplomatik yang konsisten bakal menentukan sama ada badan serantau itu akan kekal relevan untuk generasi akan datang.
“Visi asas iaitu ‘keamanan melalui kerjasama’ kini perlu diperluas kepada ‘kemampanan melalui tanggungjawab bersama’,” katanya.
Tatkala tumpuan dunia terarah ke Kuala Lumpur, Zainal Abidin berkata ASEAN perlu membuktikan bahawa perpaduan dan kepimpinan berteraskan nilai kekal menjadi kelebihan paling mampan badan serantau itu.















Tinggalkan Balasan