KULIM, 13 Dis — Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 baru-baru ini dilihat memberi isyarat bahawa rakyat Sabah cenderung memilih parti tempatan yang mesra dengan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata keputusan itu juga menunjukkan rakyat Sabah mahukan sebuah kerajaan negeri yang boleh berganding bahu dan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.
“Berbeza dengan penganalisis dan pengamat politik yang memberi ulasan tentang PRN Sabah, kami telah selesai menganalisis keputusan PRN Sabah mengikut saluran… bukan sahaja daerah mengundi, tetapi setiap saluran.
“Sebenarnya, isyarat penting yang boleh kita pelajari ialah pertama, kuatnya rakyat Sabah memberi keutamaan kepada parti tempatan iaitu ‘Sabah for Sabahan’. Itu fakta nombor satu. Disebabkan sentimen ini kuat, maka penerima manfaat terbesar ialah dua pihak, iaitu GRS (Gabungan Rakyat Sabah) dan Parti Warisan (Warisan). Itu jelas,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Program Kembali Ke Sekolah 2026 di sini hari ini.
Saifuddun Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri berkata walaupun GRS dan Warisan mendapat sokongan tinggi dalam PRN itu, berdasarkan analisis, GRS mencapai kemenangan mengatasi Warisan.
“Jadi, pada saya, kemenangan baru-baru ini adalah kemenangan Kerajaan Perpaduan. Betul, dari segi PH kita tidak banyak menang, tetapi yang jauh lebih penting ialah kemenangan perpaduan,” katanya.
Beliau berkata satu mesyuarat di peringkat Kerajaan Perpaduan akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan secara terperinci keputusan PRN Sabah.
Sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan pada PRN Sabah ke-17 pada 29 Nov lepas.
GRS memperoleh 29 daripada 73 kerusi DUN, Warisan (25), Barisan Nasional (enam), Bebas (lima), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) (tiga), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) (dua) manakala Perikatan Nasional (PN), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan PH masing-masing menang satu kerusi.















Tinggalkan Balasan