KUALA LUMPUR, 8 Julai — Malaysia dan Indonesia bersetuju membuka lebih 10 pintu masuk baharu di sempadan Kalimantan, Sabah dan Sarawak susulan cadangan perpindahan ibu negara baharu Indonesia ke Kalimantan Timur.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sebagai langkah awal, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 bilion bagi mempersiapkan pembukaan pintu sempadan yang telah dikenal pasti.
“Isu sempadan Kalimantan, Sabah dan Sarawak ekoran daripada cadangan pembukaan ibu kota baharu di sebelah Indonesia. Jadi apakah respons kita kepadanya? Kedua-dua negara telah bersetuju untuk membuka beberapa pintu masuk baharu.
“Saya tak ingat jumlahnya, (tapi) lebih daripada 10,” katanya pada sidang media selepas program INTAN Minister Conversation (IMC) 2025 bertemakan “Negara Kita, Keselamatan Tanggungjawab Bersama” di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Datuk Dr Mohd Bakhari Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Awang Alik Jeman, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah INTAN Datuk Dr Mohd Zabri Yusoff.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata pembukaan pintu masuk itu hanya akan bermula selepas perjanjian persefahaman dimuktamadkan, dan kementerian serta agensi berkaitan akan memainkan peranan masing-masing termasuk membina infrastruktur asas seperti jalan masuk dan pencawang komunikasi.
“Kalau Kementerian Komunikasi, paling asas adalah menempatkan fasiliti pencawang … kalau tidak macam mana imigresen kita nak beroperasi kalau tak ada liputan (telekomunikasi).
“Penting diingat (bahawa laluan di) sempadan itu panjang, melebihi 300 kilometer dan aksesnya tiga sahaja, iaitu satu jalan darat, dua jalan sungai dan tiga jalan udara. Pembukaan pintu masuk baharu ini akan memberikan gambaran masa depan bahawa ‘people mobility’ dan juga ‘trickle down benefits’ akan berlaku,” katanya.
Tinggalkan Balasan