IPOH, 1 Okt — Kerajaan Perak akan melaksanakan larangan lesen penjualan rokok elektronik atau vape di semua premis perniagaan dalam kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri bermula 1 Jan 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak A. Sivanesan berkata keputusan itu dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK) hari ini.
“Keputusan ini juga dicapai selepas pembentangan kertas Cadangan Polisi Larangan Lesen Penjualan Rokok Elektronik dalam MMK pada minggu lepas.
“Ini langkah tegas dan berani demi kesihatan rakyat khususnya generasi muda daripada ancaman bahaya rokok elektronik,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Sivanesan berkata kerajaan negeri melalui PBT tidak akan meluluskan atau memperbaharui lesen perniagaan premis yang menjual produk itu bagi memastikan ia selari dengan keputusan dibuat.
Premis yang tidak mematuhi arahan itu akan dikenakan tindakan perundangan seperti mana ditetapkan PBT.
“Kita juga memberi masa kepada semua premis yang masih menyimpan stok rokok elektronik untuk menghabiskannya sebelum larangan penuh dibuat,” katanya.
Bagi membantu pengusaha dan pekerja premis terlibat, Sivanesan berkata pihaknya menyediakan kursus keusahawanan serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui pelbagai agensi kerajaan di Perak.
“Kita bukan hanya menyediakan kursus malah mereka yang layak akan diserap masuk bekerja khususnya dalam bidang TVET yang dianggarkan mempunyai lebih 12,000 jawatan kosong di negeri ini.
“Langkah ini secara tidak langsung memastikan mereka dapat beralih kepada sektor perniagaan lebih mampan dan selamat,” katanya.
Setakat ini, enam negeri telah melaksanakan larangan awal termasuk tidak memperbaharui lesen penjualan rokok elektronik iaitu Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang.
Tinggalkan Balasan