LOS ANGELES: Sebuah pesawat United Airlines yang dalam perjalanan dari Los Angeles ke Shanghai terpaksa berpatah balik selepas salah seorang juruterbang tertinggal pasport.
Menurut laporan CNN, penerbangan UA 198 berlepas dari Los Angeles sekitar jam 2 petang pada 22 Mac lalu sebelum diarahkan berpatah balik ke San Francisco, di mana ia mendarat sekitar jam 5 petang waktu tempatan.
“Juruterbang tidak membawa pasport mereka. Kami telah mengaturkan kru baharu bagi meneruskan penerbangan ke destinasi yang dijadualkan pada malam tersebut. Penumpang turut diberikan baucar makanan dan pampasan,” menurut kenyataan United Airlines kepada CNN.
Penerbangan dengan kru baharu berlepas sekitar jam 9 malam dan tiba di Shanghai kira-kira enam jam lewat daripada jadual asal.
Insiden itu turut memberi kesan kepada penumpang penerbangan pulang UA 199 dari Shanghai ke Los Angeles berikutan kelewatan ketibaan pesawat inbound.
Tinggalkan Balasan