KUALA LUMPUR, 21 Julai — Pemberian subsidi haji kepada jemaah golongan B40 dan M40 menunjukkan penurunan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, susulan ada jemaah secara sukarela memilih untuk menolak bantuan itu, demikian Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata penolakan itu berikutan kesedaran umat Islam terhadap soal kemampuan sebagai asas untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.
“Tabung Haji (TH) dalam usaha memberikan penjelasan kepada umat Islam tentang kaitan haji dengan kemampuan. Bermula 2022, subsidi yang diberikan TH kepada jemaah B40 dan M40 semakin berkurangan… ini adalah asas untuk mendidik umat Islam terhadap kewajipan haji.
“.. mereka secara sukarela tolak bantuan adalah seramai 396 (2023) dan 263 (2024)… mereka tak mahu terima bantuan subsidi atau bantuan haji yang diberikan,” kata pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) berhubung cadangan menggunakan kadar keuntungan TH diolah sebagai bantuan subsidi kepada jemaah yang memerlukan.
Mohd Na’im berkata penolakan subsidi itu turut memberi kesan positif kepada prestasi kewangan TH apabila agihan keuntungan TH meningkat kepada 3.25 peratus pada tahun lepas.
Menjawab soalan asal Ahmad Marzuk mengenai kenaikan kos dan kuota haji, beliau berkata tiada kenaikan kos haji bagi seorang jemaah Muassasah bagi tahun ini dan jumlah kos berkenaan adalah sama seperti tahun lepas iaitu RM33,300.
Bagi kuota haji pula, beliau berkata tiada kuota rasmi haji negara bagi tempoh 2020 hingga 2025 yang tidak digunakan.
“Kuota haji rasmi tahunan yang diperuntukkan oleh kerajaan Arab Saudi adalah sebanyak 31,600 iaitu berdasarkan keputusan persidangan Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) yang menetapkan satu peratus daripada jumlah umat Islam dalam sesebuah negara.
“Pada 2022, kerajaan Arab menetapkan hanya 45 peratus daripada kuota asal bagi seluruh negara Islam di dunia selepas pandemik COVID-19 reda yang menyebabkan kuota haji Malaysia hanya sebanyak 14,306,” katanya.
Tinggalkan Balasan