Takaichi Bakal Jadi PM Wanita Pertama Jepun

TOKYO, 4 Okt — Sanae Takaichi, tokoh konservatif yang tegas terhadap China mencipta sejarah apabila memenangi pemilihan sebagai Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) pada Sabtu, sekali gus meletakkannya di landasan untuk menjadi Perdana Menteri wanita pertama negara itu.

Takaichi, 64, kini memikul tanggungjawab besar untuk mengembalikan kekuatan parti pemerintah yang semakin merosot sokongan rakyat selepas beberapa siri kegagalan politik dan ekonomi.

Beliau menewaskan pencabarnya, Shinjiro Koizumi, 44, dalam pusingan penentuan undi parti yang berlangsung sengit. Koizumi, anak kepada bekas Perdana Menteri Jepun, sebelum ini dilihat sebagai calon pilihan generasi muda kerana imejnya yang moden dan berkarisma.

Takaichi dijangka disahkan sebagai Perdana Menteri kelima Jepun dalam tempoh lima tahun apabila Parlimen mengadakan undian rasmi pada minggu bermula 13 Oktober ini.