KUALA LUMPUR, 23 Okt — Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung di ibu negara pada 26 hingga 28 Okt ini, disifatkan unik dan bersejarah apabila 10 pemimpin negara badan serantau itu disahkan hadir, selain kehadiran pemimpin dan wakil dari pelbagai benua.
Timor-Leste yang sebelum ini hadir sebagai pemerhati, turut mengesahkan kedatangan pemimpin negara itu yang bakal menjadi anggota ke-11 ASEAN.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sidang kali ini turut menarik penyertaan wakil tertinggi dari seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun, Rusia, Eropah, Timur Tengah, Amerika Latin, Australia, New Zealand dan Afrika Selatan sekali gus menjadikannya antara perhimpunan antarabangsa terbesar pernah dihoskan Malaysia.
“Selain pemimpin ASEAN, turut hadir ke sidang kemuncak itu ialah Presiden Bank Dunia, Ketua IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa), Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3, Majlis Perniagaan Asia Timur dan Sekretariat Kerjasama Trilateral.
“Ketua Pengarah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) Gilbert F. Houngbo dan Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Gianni Infantino turut hadir menyertai sesi khas ASEAN,” kata beliau pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Perdana Menteri berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) yang ingin tahu senarai pemimpin negara dan pertubuhan antarabangsa yang akan hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 serta pencapaian utama Kepengerusian ASEAN–Malaysia dan tahap persiapan akhir diambil oleh kerajaan untuk menjamin kelancaran keseluruhan program.
ASEAN terdiri daripada 10 negara anggota, iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Semalam, Anwar mengesahkan Pemangku Presiden Myanmar Jeneral Kanan Min Aung Hlaing tidak akan menghadiri sidang kemuncak berkenaan.
Mengulas mengenai tahap persiapan, Perdana Menteri berkata persediaan rapi sedang giat dilaksanakan oleh puluhan ribu petugas daripada pelbagai agensi termasuk Kementerian Luar; Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Jabatan Perdana Menteri; Polis Diraja Malaysia; Jabatan Imigresen; dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
“Saya ingin mengambil kesempatan untuk menyatakan penghargaan setinggi-tingginya kepada semua petugas yang bertungkus lumus menyiapkan segala persiapan bagi memastikan sidang ini berjalan dengan lancar dan memberikan imej terbaik kepada Malaysia,” kata beliau.
Dalam pada itu, Anwar berkata penyertaan Timor-Leste merupakan hasil usaha berterusan Malaysia dalam mengangkat kemasukan negara itu sebagai ahli penuh rantau ini.
“Timor-Leste dahulunya sebahagian daripada Indonesia, jadi dari segi geopolitik ia memang di dalam rantau ASEAN walaupun kini telah menjadi negara merdeka. Malaysia memainkan peranan besar dalam mendukung penyertaan rasmi mereka,” kata Anwar.
Selain itu, beliau berkata hasil penganjuran sidang kemuncak berkenaan mencerminkan kesinambungan kerja keras ASEAN dan inisiatif kementerian-kementerian Malaysia yang terlibat, khususnya dalam memperkukuh perdagangan intra-ASEAN serta penggunaan mata wang tempatan di bawah inisiatif Chiang Mai.
Menteri Kewangan itu berkata hubungan ekonomi ASEAN kini diperkukuh melalui beberapa perjanjian baharu termasuk dalam sektor digital dan tenaga, selain memperluas kerjasama rentas sempadan antara negara.
“Dalam sektor tenaga, kita berjaya memeterai perjanjian antara Vietnam, Laos, Kemboja, Malaysia dan Singapura, termasuk sambungan dari Sarawak ke Indonesia serta Sabah ke selatan Filipina,” kata beliau.
Menyentuh mengenai lokasi penganjuran, Anwar menjelaskan keputusan mengadakan sidang kemuncak itu di Kuala Lumpur dan bukannya Putrajaya dibuat atas faktor logistik serta keselamatan.
Berdasarkan pengalaman mengurus Sidang ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di ibu negara sebelum ini, beliau yakin negara mampu melaksanakan tanggungjawab itu dengan sebaik-baiknya.















Tinggalkan Balasan