PUTRAJAYA, 4 Mac — Lebih 12.5 juta rakyat Malaysia memanfaatkan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk Semua dengan perbelanjaan melebihi RM1 bilion bagi pembelian barangan keperluan asas dalam tempoh hanya tiga minggu sejak bantuan itu dilancarkan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kejayaan program itu membuktikan hasil penjimatan daripada pengurusan kewangan negara yang lebih berdisiplin kini dapat disalurkan terus kepada rakyat.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata SARA untuk Semua adalah hasil penjimatan yang dicapai melalui penstrukturan semula kewangan negara.
“Ketirisan ditutup, tatakelola diperkemas dan hasil yang dijimatkan dipulangkan kepada rakyat. Ini membuktikan bahawa apabila hasil negara diagih secara saksama, manfaatnya dirasai oleh isi rumah di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MoF), di sini hari ini.
MoF memaklumkan jualan pada hari pertama pelaksanaan SARA untuk Semua pada tahun ini mencecah RM97 juta, hampir dua kali ganda berbanding nilai jualan RM50.7 juta yang direkodkan pada hari pertama tahun lepas.
Dalam kenyataan yang sama, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata MoF telah memastikan kelancaran sistem bagi mengelak sebarang gangguan kepada pengalaman pembelian rakyat.
“Daripada 3,782 transaksi seminit pada hari pertama pelaksanaan tahun lepas, sistem kini mampu memproses lebih daripada 11,000 transaksi seminit tanpa sebarang kelewatan atau gangguan,” katanya.
Menurut MoF, penggunaan MyKad sebagai medium pelaksanaan program SARA untuk Semua memudahkan rakyat menyalurkan dan memanfaatkan bantuan bersasar dengan lebih cekap, selain memastikan proses agihan bantuan dilakukan secara teratur.
Setakat ini, sebanyak 56 peratus daripada kredit RM100 di bawah program SARA untuk Semua telah digunakan oleh penerima bagi pembelian barangan keperluan asas dan baki kredit tersebut masih sah digunakan sehingga 31 Dis ini.
Dari segi taburan geografi, kadar penggunaan SARA untuk Semua menunjukkan kadar penebusan lebih tinggi di zon Borneo serta kawasan Pantai Timur dan utara Semenanjung.
Antara negeri dan Wilayah Persekutuan yang mencatatkan kadar penebusan tertinggi ialah Sabah dengan 70 peratus diikuti Perlis (65 peratus), Kelantan dan Labuan masing-masing 64 peratus, Terengganu (63 peratus), Kedah (63 peratus), Sarawak (62 peratus) dan Pahang (60 peratus).
MoF memaklumkan program SARA untuk Semua bukan sahaja membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup, malah menyokong aktiviti ekonomi setempat khususnya di peringkat komuniti.
Menurut kenyataan itu, rangkaian Rakan Niaga SARA merangkumi lebih 4,400 kedai runcit kecil di seluruh negara, selain pasar raya sedia ada, menjadikan jumlah keseluruhan premis yang menerima transaksi SARA melebihi 11,300 premis.
MoF memaklumkan kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan bilangan kedai runcit kecil kepada 10,000 menjelang penghujung tahun ini, sekali gus meningkatkan jumlah keseluruhan Rakan Niaga SARA kepada 20,000 premis.
Langkah itu dijangka mampu mengurangkan jarak purata rakyat ke premis penerimaan SARA kepada sekitar tujuh kilometer berbanding kira-kira 10 kilometer ketika ini, sekali gus memudahkan akses rakyat untuk menggunakan bantuan berkenaan.
















Tinggalkan Balasan