Anwar Akan Perjelas Isu Sempadan Malaysia-Indonesia Di Parlimen

KUALA LUMPUR, 4 Feb — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjelaskan secara terperinci isu jajaran sempadan Malaysia–Indonesia dalam Sesi Penerangan Khas di Parlimen pagi ini.

Sesi berkenaan dijadual berlangsung pada 11.30 pagi dan akan disiarkan secara langsung menerusi beberapa saluran media.

Anwar berkata penjelasan itu bertujuan memberi kefahaman menyeluruh kepada semua pihak susulan kekeliruan dan salah faham yang timbul dalam kalangan masyarakat berhubung perkara berkenaan.

“Isu jajaran sempadan Malaysia–Indonesia akan saya jelaskan secara terperinci dalam Sesi Penerangan Khas di Parlimen pagi ini.

“Semoga penjelasan ini memberi manfaat kepada semua, khususnya bagi memperbetul kekeliruan dan salah faham yang telah timbul dalam kalangan masyarakat,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Sebelum ini, Anwar menafikan dakwaan pembangkang kononnya kerajaan Malaysia menyerahkan lebih 5,000 hektar tanah di kawasan sempadan Sabah-Kalimantan kepada Indonesia.

Terdahulu, media melaporkan tiga kampung di Kabupaten Nunukan, Kalimantan Utara, dikatakan kini termasuk dalam wilayah Malaysia susulan peralihan garisan sempadan antara Malaysia dan Indonesia.