Anwar Hargai Keterbukaan Pemimpin Kemboja, Thailand Teruskan Rundingan

KUALA LUMPUR, 10 Dis — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan atas keterbukaan dan kesanggupan kedua-dua rakan sejawatannya dari Kemboja dan Thailand untuk meneruskan rundingan yang bertujuan meredakan ketegangan dan mengelakkan sebarang salah faham yang boleh memburukkan lagi keadaan.

Anwar, yang bercakap dengan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul semalam, berhubung ketegangan yang berterusan di sempadan kedua-dua negara itu, berkata Malaysia tetap komited untuk menyokong dialog aman.

“Walaupun resolusi muktamad masih belum dicapai, penglibatan diplomatik yang berterusan telah memastikan tiada lagi insiden serius berlaku pada waktu kritikal ini.

“Malaysia akan terus menyokong dialog aman, penyelesaian berdasarkan undang-undang antarabangsa dan mengukuhkan kerjasama serantau demi menjaga kestabilan dan keselamatan wilayah yang dikongsi bersama,” kata Perdana Menteri menerusi hantaran Facebook hari ini.

Konflik sempadan Kemboja-Thailand yang berlanjutan sejak seabad lalu, kembali tegang Julai lepas dan membawa kepada pertempuran tentera selama lima hari.

Kedua-dua negara kemudiannya bersetuju untuk gencatan senjata di Kuala Lumpur pada 24 Julai sebelum menandatangani Perjanjian Damai Kuala Lumpur pada 26 Okt iaitu semasa berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, dengan disaksikan oleh Anwar selaku Pengerusi ASEAN dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Bagaimanapun, pertempuran tercetus kembali pada Isnin yang menyebabkan beberapa kematian dan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal.