KUALA LUMPUR, 17 Jun — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa para pustakawan di seluruh rantau ini agar melangkaui peranan tradisional mereka dan menyahut cabaran untuk memupuk budaya membaca yang dinamik, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Berucap pada Persidangan dan Mesyuarat Agung Kongres Pustakawan Asia Tenggara ke-19 (CONSAL XIX) beliau menegaskan bahawa perpustakaan tidak seharusnya hanya menjadi tempat simpanan buku atau ruang berestetika semata-mata, sebaliknya perlu berfungsi sebagai pusat ilmu, budaya dan wacana intelektual yang aktif.
“Peranan pustakawan bukan sekadar mengumpul buku dan mempamerkannya di dalam almari kaca. Sebaliknya, ia adalah untuk menjadikan perpustakaan sebagai sumber penting dalam meningkatkan kesedaran dan memberi inspirasi kepada para pembaca,” katanya semasa merasmikan acara tersebut di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.
Perdana Menteri turut menekankan bahawa pustakawan perlu menjadi pembimbing yang berkesan dalam memperkenalkan kandungan menarik kepada pembaca serta memanfaatkan teknologi dan peralatan digital untuk menjangkau khalayak yang lebih luas.
Turut hadir, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang, Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy, dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Tinggalkan Balasan