AS Puji Peranan Anwar Dalam Gencatan Senjata, Desak Pihak Terlibat Patuhi Persefahaman

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Amerika Syarikat (AS) memuji kepimpinan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menjadi orang tengah kepada persetujuan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat antara Thailand dan Kemboja.

Setiausaha Negara AS Marco Rubio berkata AS menyambut baik pengumuman gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand yang diumumkan pada Isnin.

“Kami berterima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim atas kepimpinan beliau dan kerana menjadi tuan rumah rundingan gencatan senjata ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Negara AS lewat malam Isnin.

Rubio turut menggesa Thailand dan Kemboja agar mematuhi sepenuhnya komitmen mereka untuk menamatkan konflik dan mengelakkan sebarang peningkatan ketegangan di kawasan sempadan yang dipertikaikan.

“Presiden Donald Trump dan saya komited untuk menghentikan keganasan serta-merta dan kami menjangkakan Kerajaan Kemboja dan Thailand akan menunaikan sepenuhnya komitmen mereka bagi menamatkan konflik ini.”

Rubio menegaskan bahawa AS akan terus komited dan terlibat dalam proses yang dianjurkan bersama dengan Malaysia bagi menamatkan konflik berkenaan.

“Kami menggesa semua pihak agar menunaikan komitmen masing-masing,” kata beliau.

Terdahulu, satu mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh Anwar selaku Pengerusi ASEAN ketika ini telah diadakan di kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia – Kompleks Seri Perdana – di Putrajaya.

Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai menghadiri mesyuarat khas itu yang bermula pada pukul 3 petang.

Ini merupakan pertemuan secara bersemuka pertama antara kedua-dua pemimpin sejak ketegangan tercetus antara kedua-dua negara jiran itu pada 24 Julai. Mesyuarat berlangsung hampir dua jam setengah.

Turut hadir ialah Duta AS ke Malaysia Edgard Kagan dan Duta China ke Malaysia Ouyang Yujing. AS bertindak sebagai penganjur bersama mesyuarat manakala China hadir sebagai pemerhati bagi menyokong penyelesaian damai terhadap situasi yang sedang berlaku.

Dalam sidang media bersama selepas mesyuarat itu, Anwar mengumumkan bahawa Thailand dan Kemboja telah bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat bagi meredakan  ketegangan yang memuncak di sepanjang sempadan yang belum dimuktamadkan antara kedua-dua negara.

Kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu mempunyai sejarah panjang dalam pertikaian diplomatik melibatkan 817 kilometer sempadan yang belum ditanda sepenuhnya.

Ketegangan antara Thailand dan Kemboja mula memuncak sejak 28 Mei susulan pertempuran antara tentera kedua-dua negara berhampiran kawasan sempadan Preah Vihear yang dipertikaikan, mengakibatkan  seorang anggota tentera Kemboja terkorban.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda