KUALA LUMPUR, 26 Okt — Jabatan Penyiaran Malaysia memohon maaf ke atas kesilapan pengulas yang silap menyebut nama Presiden Indonesia ketika siaran langsung majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan pada pagi tadi.
Jabatan tersebut dalam satu kenyataan berkata, pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) memandang serius perkara tersebut dan tindakan sewajarnya telah diambil.
“Berdasarkan siasatan dalaman, terdapat kesilapan oleh pengulas siaran yang telah menyebut nama Presiden Indonesia sebagai Joko Widodo, sedangkan Presiden sekarang ialah Prabowo Subianto.
“RTM dengan ini memohon maaf kepada Presiden dan Kerajaan Republik Indonesia, serta semua pihak yang terkesan akibat kesilapan ini,” menurut kenyataan itu.
Jabatan itu berkata, RTM juga akan terus meningkatkan kawalan editorial dan semakan fakta dalam ketepatan dan integriti dalam setiap maklumat yang disampaikan.
Majlis yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, dihadiri oleh semua pemimpin ASEAN, termasuk Prabowo.
Hadir sama Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres, Presiden Majlis Eropah Antonio Costa, Perdana Menteri Kanada Mark Carney, Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva, Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa, serta Naib Presiden Bank Dunia bagi Rantau Asia Timur dan Pasifik Carlos Felipe Jaramillo.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 berlangsung dari 26 hingga 28 Okt di bawah tema Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, “Keterangkuman dan Kemampanan.”














Tinggalkan Balasan