Asia Barat: Taklimat Khas Bersama Kepimpinan Negeri, Parti Politik Minggu Depan

SHAH ALAM, 27 Mac — Kerajaan bercadang menghimpunkan kepimpinan tertinggi pentadbiran setiap negeri, termasuk pimpinan parti politik, dalam satu taklimat khas yang dijangka diadakan minggu depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata taklimat yang akan disampaikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) itu bertujuan membincangkan langkah bersama bagi menjamin kemampanan ekonomi serta keselamatan negara susulan ketidaktentuan situasi di Asia Barat.

“Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana  masalah yang dihadapi tidak serumit di beberapa negara jiran. Setakat ini, belum ada catuan, belum berlaku kenaikan mendadak RON95 dan bekalan masih terjamin sehingga Mei. Keadaan juga dipantau setiap hari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Bukit Jelutong, di sini, hari ini.

Mengulas cadangan pembangkang supaya sidang khas Dewan Rakyat diadakan bagi membincangkan implikasi perkembangan di Asia Barat, Anwar berkata perkara itu akan dipertimbangkan selepas pelan lebih konkrit dirangka hasil perbincangan bersama pemimpin negeri.

Perdana Menteri turut menegaskan bekalan minyak kekal stabil sehingga Mei seperti diumumkan sebelum ini dan mencukupi untuk menampung keperluan domestik.

“Keistimewaan Petronas ialah kepelbagaian pelaburannya, bukan sahaja di negara Teluk, malah di Brazil, Suriname dan Kanada. Oleh itu, kita akan mencari jalan bagi memastikan pulangan serta hasil dapat dimanfaatkan di dalam negara untuk memenuhi keperluan tempatan.

“Setakat ini, Alhamdulillah, meskipun terdapat situasi gawat di beberapa negara sekitar, kita perlu terus bersyukur serta tidak leka atau terlalu terikat dengan polemik politik, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha membela nasib rakyat dan negara,” katanya.