IPOH, 25 Jun — Calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 di Bagan Datuk mencatatkan rekod kelulusan 100 peratus dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) meningkat kepada 3.22 berbanding 3.09 pada 2023.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abdul Razak mencatatkan PNGK tertinggi daerah iaitu 3.53, manakala SMK Khir Johari turut merekodkan peningkatan PNGK kepada 3.11.
“Pencapaian STPM 2024 di Bagan Datuk menyaksikan peningkatan mendadak dalam bilangan calon cemerlang.
“Seramai tujuh orang atau 12.07 peratus daripada keseluruhan calon memperoleh PNGK 4.00, yang merupakan satu lonjakan ketara berbanding hanya dua orang atau 3.45 peratus pada 2023,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pencapaian itu menjadi simbol kecemerlangan akademik prauniversiti serta manifestasi komitmen pelajar hasil usaha gigih para guru, ibu bapa serta sokongan berterusan pihak Pejabat Pendidikan Daerah.
“Sebagai Ahli Parlimen Bagan Datuk, saya sentiasa memberikan keutamaan kepada pembangunan pendidikan dan potensi anak muda di kawasan ini.
“Insya-Allah, segala bentuk sokongan akan terus disalurkan termasuk melalui program bantuan pendidikan, bimbingan motivasi, serta penyediaan akses kepada peluang pengajian tinggi dan latihan teknikal,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua calon STPM di seluruh negara atas peningkatan prestasi keseluruhan peperiksaan, yang menyaksikan PNGK nasional meningkat kepada 2.85 berbanding 2.84 pada tahun sebelumnya.
Menurutnya, peningkatan turut dicatat dalam pelbagai indikator termasuk bilangan calon yang mencapai PNGK 4.00 iaitu jumlah calon yang memperoleh keputusan 5A dan 4A serta peratusan lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran.
Selain itu, katanya, Bantuan Awal Persekolahan berjumlah RM150 kepada pelajar Tingkatan Enam akan mula disalurkan mulai tahun 2025, disusuli pelaksanaan kursus tanggungjawab sosial korporat (CSR) secara berterusan untuk guru Tingkatan Enam serta insentif tunai kepada pusat Tingkatan Enam yang mencapai kecemerlangan.
“Semoga kejayaan ini menjadi pembakar semangat kepada generasi muda lain untuk terus melakar kejayaan dan mengharumkan nama daerah Bagan Datuk yang tercinta,” katanya.
Tinggalkan Balasan