KUALA LUMPUR, 5 Mac — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Felda tidak boleh lagi dilihat sebagai entiti terasing, sebaliknya kawasan itu mesti dilibatkan dalam sebarang projek pembinaan dan pembangunan negara secara menyeluruh.
Berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Warga Felda hari ini, beliau berkata semua kementerian dan jabatan diarah supaya tidak mengetepikan kawasan Felda dalam pelaksanaan sebarang projek atau inisiatif baharu kerajaan.
“Saya telah arahkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, semua jabatan dan kementerian, jika ada projek atau apa-apa ikhtiar baharu jangan tinggalkan Felda sebagai satu kawasan yang terasing.
“Setiap kemudahan kerajaan dari sudut kemudahan pendidikan, sosial, jangan tinggalkan Felda,” katanya pada majlis yang diadakan di Menara Felda di sini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Perdana Menteri berkata pendekatan lama yang meletakkan Felda seolah-olah mampu bergerak sendiri tanpa integrasi menyeluruh dengan dasar nasional, perlu dihentikan.
Anwar berkata beliau hadir pada majlis amanat tahun ini dengan perasaan positif susulan petunjuk prestasi terkini yang menunjukkan peningkatan dari segi pengeluaran hasil, tadbir urus dan pelaksanaan program berteraskan kesejahteraan keluarga peneroka.
Beliau mengakui Felda pernah melalui fasa sukar yang melelahkan namun menegaskan sejarah pasang surut itu perlu dijadikan pengajaran untuk bangkit semula.
“Hal dulu, akibat legasi, kita kena nyahsenarai FGV (Holdings) (di Bursa Malaysia) tapi keputusan yang melelahkan akibat permasalahan besar itu kini dijadikan suatu yang membina dan nyahsenarai itu kini menjadi pemacu utama untuk mengangkat kedudukan Felda,” katanya.
Selain itu, Perdana Menteri memuji langkah pengurusan Felda yang menyepadukan agenda transformasi digital dalam operasi serta memberi penekanan kepada inovasi, rantaian nilai dan kemampanan.
Anwar berkata pendekatan itu selari dengan agenda nasional termasuk peralihan tenaga dan pemodenan ekonomi, namun mengingatkan bahawa asas nilai, integriti dan akhlak mesti terus menjadi teras.
Pada masa sama, beliau turut mencadangkan agar sambutan ulang tahun ke-70 Felda diadakan secara besar-besaran di kawasan Felda sendiri, bukan di bandar atau dewan tertutup bagi menyemarakkan semangat warga peneroka.
Beliau mahu syarikat berkaitan seperti Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF) dan entiti lain dalam ekosistem Felda dilibatkan secara langsung dalam penganjuran program tersebut.
Perdana Menteri berkata dengan tekad, kesediaan bekerja sebagai satu pasukan dan sokongan kerajaan, Felda mampu terus menjadi model pembangunan tanah yang menjadi legasi penting negara.
















Tinggalkan Balasan