FRIM FPS Disenarai Sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO

PUTRAJAYA, 12 Julai — Forest Research Institute Malaysia Forest Park Selangor (FRIM FPS) secara rasminya disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan penyenaraian itu, diumumkan semalam semasa Persidangan ke-47 Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO yang berlangsung dari 6 hingga 16 Julai di Ibu Pejabat UNESCO di Paris, Perancis.

Menurut kenyataan itu, perkara berkenaan diputuskan 21 ahli Negara Anggota Jawatankuasa Warisan Dunia, setelah usaha pencalonan tapak itu bermula sejak 2013.

“FRIM FPS merupakan tapak yang istimewa dan merupakan salah satu inisiatif terawal pemulihan ekosistem hutan tropika berskala besar melalui penanaman semula pokok di bekas kawasan perlombongan bijih timah.

“Usaha ini telah menetapkan penanda aras antarabangsa melalui kejayaan penghasilan satu ekosistem yang hampir menyamai hutan hujan tropika semula jadi, lengkap dengan kepelbagaian spesies pokok yang tinggi serta kaya dengan komposisi biodiversiti,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan MOTAC itu memaklumkan bahawa penyenaraian FRIM FPS membuktikan komitmen berterusan negara dalam melindungi dan memelihara tapak semula jadi serta budaya yang mempunyai nilai sejagat luar biasa dan secara tidak langsung dapat meningkatkan visibiliti Malaysia di mata dunia. 

“Kementerian ini juga optimis pengikirafan ini akan menyuntik nilai tambah yang signifikan kepada FRIM FPS sebagai salah satu produk pelancongan utama di Selangor.

“Selaras dengan pelaksanaaan Visit Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Selangor 2025, kejayaan ini diharap dapat meningkatkan kedatangan pelancong luar negara ke Malaysia sekaligus menyumbang penjanaan ekomoni Malaysia khususnya komuniti setempat,” menurut kenyataan itu.

Malaysia secara keseluruhan berjaya menyenaraikan enam Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Penyenaraian sebelum ini terdiri daripada Taman Kinabalu pada tahun (2000), Taman Negara Gunung Mulu (2000), Bandar Bersejarah Selat Melaka, Melaka dan George Town (2008), Warisan Arkeologi Lembah Lenggong (2012) dan Warisan Arkeologi Kompleks Gua Taman Negara Niah (2024).

Sehingga kini, sejumlah 1,223 tapak di seluruh dunia diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia di bawah Konvensyen Perlindungan Warisan Budaya dan Semula Jadi Dunia 1972.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda