GEORGE TOWN, 9 Jun — Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan Dana Tabung Kecemasan Pelajar Nasional untuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dengan menyediakan bantuan segera kepada keluarga mangsa tragedi.
Naib Presiden GPMS Muhammad Danial Alimin berkata dana itu juga dapat menyokong keperluan pascatrauma termasuk rawatan psikologi, pemulihan dan bimbingan serta jaminan perlindungan insurans pelajar dalam setiap aktiviti rasmi.
“GPMS turut menggesa semua IPT agar lebih tegas dalam menilai risiko sesuatu perjalanan dan tidak hanya menyerahkan keputusan kepada pihak penganjur atau pelajar, malah pelajar dan masyarakat juga perlu terus peka terhadap keselamatan semasa menjalankan sebarang aktiviti luar kampus.
“Tragedi itu bukan sekadar berita hitam, tetapi satu isyarat besar bahawa nyawa pelajar perlu menjadi keutamaan nombor satu dalam semua perancangan pendidikan dan pembangunan insan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Pusat Kawalan Operasi Daerah Angkatan Pertahanan Awam Hulu Perak dalam kenyataan memaklumkan sekurang-kurangnya 15 maut dalam kemalangan melibatkan sebuah bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan sebuah kenderaan di Jalan Raya Timur-Barat Banun, berdekatan Tasik Banding, Gerik awal pagi tadi.
Muhammad Danial berkata GPMS merakamkan rasa dukacita dan simpati yang amat mendalam terhadap tragedi kemalangan yang meragut 15 nyawa pelajar UPSI dan kemalangan itu bukan sahaja menggoncang dunia pendidikan tinggi negara, malah mencabar keutamaan terhadap keselamatan pelajar sebagai pewaris masa depan negara.
Beliau berkata GPMS turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, khususnya para pelajar, penyelia dan pihak yang terlibat dalam kemalangan itu, selain pihaknya mendoakan agar semua mangsa yang masih menerima rawatan dikurniakan kesembuhan segera.
“Tragedi itu wajar menjadi titik perubahan dalam pendekatan kerajaan terhadap keselamatan pelajar dan pengurusan perjalanan rasmi institusi pendidikan,” katanya.
Beliau berkata pihaknya juga berharap Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pengangkutan menggubal Prosedur Operasi Standard Nasional berkaitan keselamatan pengangkutan pelajar, khususnya dalam aspek saringan kelayakan syarikat bas sewaan dan audit pemandu iaitu rekod kesihatan, lesen, rekod jenayah serta lalu lintas.
“GPMS komited untuk menjadi suara mahasiswa dan pelajar Melayu serta terus menekan pihak berkepentingan agar tragedi seumpama ini tidak berulang.
“Kita tidak mahu lagi mendengar nama institusi, pelajar dan ibu bapa diselubungi kesedihan akibat kelemahan sistem keselamatan yang sepatutnya telah diperbaiki sejak dahulu,” katanya.
Tinggalkan Balasan