KUALA LUMPUR, 23 Okt — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat pelaksanaan hukuman rotan di sekolah wajar dipertimbangkan semula, namun perlu dilaksanakan mengikut garis panduan serta kawalan ketat bagi mengelakkan sebarang bentuk penderaan.
Anwar menegaskan bahawa pandangan itu merupakan pendapat peribadinya dan belum menjadi dasar kerajaan, malah perkara berkenaan perlu diperhalusi melalui libat urus menyeluruh antara Kementerian Pendidikan dan pihak berkepentingan termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).
“Soal rotan, pandangan peribadi saya, saya telah suarakan, harus dikembalikan…tetapi dengan syarat ketat, bukan rotan di khalayak ramai. Rotan mungkin di tangan, bukan diberi kelonggaran sepenuhnya. Saya pernah jadi guru, saya rotan tetapi di tangan, dan tentunya tidak sampai tahap penderaan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan R. Sanisvara Nethaji Rayer (PH-Jelutong) berhubung cadangan agar guru diberikan budi bicara untuk merotan bagi mendisiplinkan murid seperti amalan yang pernah dilaksanakan pada masa lalu.
Perdana Menteri berkata walaupun terdapat pandangan daripada pertubuhan hak asasi yang menganggap tindakan merotan termasuk dalam kategori penderaan terhadap kanak-kanak, namun ramai pendidik dan ibu bapa berpendapat bahawa langkah itu masih relevan sekiranya dijalankan secara berhemah.















Tinggalkan Balasan