Ideanya Bagus, Berikan Jonassen Masa – Chong Wei

GEORGE TOWN, 30 Julai — Pengarah Kejurulatihan Perseorangan negara Kenneth Jonassen perlu diberikan masa sewajarnya untuk ‘menuai hasil’, kata legenda badminton negara Datuk Seri Lee Chong Wei.

Beliau berkata bekas pemain Denmark yang baru enam bulan memulakan tugas di Malaysia memerlukan ruang menyesuaikan diri dan membentuk semula kekuatan barisan pemain perseorangan negara yang kini dianggap kritikal.

Menurut Chong Wei, Jonassen mempunyai cadangan dan perancangan yang baik dan beliau sendiri bersetuju dengan idea dikemukakan jurulatih berusia 51 tahun itu.

“Saya telah berjumpa dan berbincang dengannya (Jonassen) mengenai bagaimana membantu pemain perseorangan Malaysia, malah idea dibawanya sangat bagus.

“Cumanya kita tak boleh harap hasil segera kerana ini bukan proses sebulan atau setahun, sekurang-kurangnya satu penggal iaitu empat tahun barulah kita boleh lihat keberkesanan perancangannya. 

“Macam anak baharu lahir, nak tunggu berjalan pun ambil masa setahun, inikan pula nak lahirkan juara dunia,” kata Chong Wei ketika ditemui selepas Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-84 Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib di sini hari ini. 

Chong Wei, 43, dianugerahkan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Sementara itu, Chong Wei sependapat dengan bekas jurulatih skuad kebangsaan Wong Tat Meng dengan mengakui prestasi perseorangan lelaki kini di tahap membimbangkan dan jurang ketara berbanding pemain utama dunia.

Buat masa ini, Chong Wei berkata hanya Lee Zii Jia dilihat berpotensi selepas pulih daripada kecederaan manakala Ng Tze Yong sedang menjalani rawatan di Doha, Qatar.

“Bagaimanapun, persembahan mereka masih belum stabil, begitu juga Leong Jun Hao yang (prestasinya) turun naik,” katanya.

Mengenai prestasi skuad remaja negara, Chong Wei berkata Malaysia masih ketinggalan walaupun pemain sudah mula didedahkan kepada kejohanan peringkat tinggi.

Beliau juga yakin bekas jurulatihanya Datuk Tey Seu Bock mampu memainkan peranan dalam membina pelapis bagi memastikan kesinambungan perseorangan negara.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda