SANDAKAN, 27 Sept — Pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bagi kumpulan pertama melibatkan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjalan lancar tanpa sebarang masalah, setakat tengah hari tadi.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pelaksanaan pada hari pertama ini juga bertindak sebagai ujian tekanan terhadap keupayaan sistem dan stesen minyak yang telah membuat persediaan bagi pelaksanaan BUDI95, menjelang penggunaan lebih meluas pada Selasa ini.
“Kita boleh anggap ini sebagai satu proses untuk menilai keupayaan sistem supaya tidak ada sebarang gangguan.
“Kita akan tengok lagi nanti sebab penggunaan yang lebih besar adalah dalam kalangan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR),” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan Program BUDI95 di sebuah stesen minyak di Jalan Bokara di sini hari ini.
Kira-kira 300,000 anggota tentera dan polis menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter menerusi BUDI95 yang mula dilaksanakan tengah malam tadi.
Selepas anggota tentera dan polis, penerima STR yang merupakan golongan B40 akan menikmatinya pada 28 Sept, diikuti 16 juta warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif pada 30 Sept ini.
Tinggalkan Balasan