KUALA LUMPUR, 25 Feb — Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan mengingatkan umat Islam supaya tidak meniru perbuatan seorang wanita yang tidak menghormati bulan Ramadan dengan minum secara terbuka menerusi siaran langsung di akaun TikTok miliknya.
Beliau berkata Jabatan Mufti dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mempergiat usaha mendidik dan memberi kesedaran bagi memastikan umat Islam terus menghormati bulan Ramadan.
“Pihak kami telah menerima pemakluman berkaitan kes itu dan menasihatkan umat Islam di negara ini supaya mengelakkan perbuatan yang dilihat membimbangkan ini.
“Kita sudah buat khutbah khas pada awal Ramadan…mungkin selepas ini kita minta ia disampaikan kepada wanita-wanita juga,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pengumuman Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) 2025 di sini hari ini.
Zulkifli berkata perkara itu telah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut, namun menegaskan cabaran lebih utama ialah bagaimana menampilkan keindahan Islam secara menyeluruh bukan saja dalam kalangan umat Islam malah kepada masyarakat bukan Islam.
“Masyarakat berbilang kaum dan agama perlu saling mengenali untuk mengelakkan kes menghina agama sejajar dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang mengiktiraf perbezaan dalam bingkai kesatuan,” katanya.
Sebelum itu, tular di media sosial memaparkan seorang wanita didakwa makan dan minum secara terbuka ketika berinteraksi bersama pengikutnya menerusi siaran langsung di TikTok.
Pagi tadi, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan Datuk Mohd Asri Abdullah mengesahkan wanita berusia 27 tahun itu ditahan di Kuala Pilah semalam, dan kini disiasat di bawah Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 atas kesalahan menghina atau mencela agama Islam.
















Tinggalkan Balasan