Kabinet Lulus SEGiM, Jaga Kebajikan Pekerja Gig – TPM Ahmad Zahid

MELAKA, 6 Mac — Kabinet telah meluluskan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) minggu lepas sebagai usaha kerajaan menjaga kebajikan lebih 1.2 juta pekerja gig di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata SEGiM juga akan bertanggungjawab mengawal selia Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) yang diluluskan di Dewan Rakyat pada tahun lepas.

Beliau berkata suruhanjaya juga akan mencari kaedah bagi membantu golongan pekerja gig, terutama mereka yang tidak mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Maka kerajaan akan mencari cara supaya caruman boleh dibuat sahaja oleh pekerja tetapi juga oleh pihak penyedia perkhidmatan. Mereka (pekerja gig) tiada majikan tetap, sebaliknya hanya penyedia perkhidmatan. Aspek inilah yang akan menjadi antara fokus utama tata kerja SEGiM ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan dan Iftar Jamaie Mega Kerajaan Negeri Melaka yang turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bersama kira-kira 3,000 tetamu di Dataran Pusat Islam, Masjid Al-Azim di Bukit Palah, di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata SEGiM juga akan menyelaras kadar upah minima mengikut perbatuan, yang berbeza bagi setiap penyedia perkhidmatan.

“Selain itu, suruhanjaya turut memberi perhatian kepada aspek upskilling dan reskilling melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) supaya selepas tamat pekerjaan sementara, mereka berpeluang mendapatkan pekerjaan tetap menerusi latihan kemahiran tersebut.

“Ini tentunya penyediaan laluan kerjaya yang lebih baik dalam bidang teknikal dan menjamin masa depan keluarga mereka,” katanya.