KUALA LUMPUR, 2 April — Kerajaan komited untuk memacu agenda ekonomi MADANI melalui pengukuhan kerjasama awam-swasta, pembangunan bakat digital dan pemerkasaan industri tempatan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha itu penting bagi memastikan kemajuan teknologi diterjemahkan kepada manfaat yang inklusif agar tiada rakyat Malaysia yang terpinggir dalam era digital.
“Hari ini saya menerima kunjungan hormat daripada barisan kepimpinan Huawei yang diketuai presiden rantau Asia Pasifik Terry He dan ketua pegawai eksekutif Huawei Malaysia, Simon Sun,” kata beliau menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Perdana Menteri berkata pertemuan itu membuka ruang penting untuk bertukar-tukar pandangan mengenai masa depan digital negara serta memperkukuh kerjasama strategik yang telah terjalin sekian lama.
Sebelum ini Anwar berkata kerajaan serius dalam melaksanakan transformasi digital negara dan mahu memastikan rakyat menyedari sepenuhnya inisiatif berkaitan, sekali gus menjadi komuniti yang celik digital serta Kecerdasan Buatan (AI).
















Tinggalkan Balasan