Kerajaan MADANI Komited Perangi Buli – Fahmi

KUALA LUMPUR, 11 Sept — Kerajaan MADANI komited meneruskan perang terhadap sebarang bentuk buli dengan sentiasa mendengar pandangan, cadangan serta input semua pihak demi melahirkan generasi tanpa buli.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata komitmen itu, dizahirkan menerusi penganjuran sesi libat urus Tribunal Anti-Buli yang berlangsung hari ini, melibatkan penyertaan pelbagai pihak berkepentingan.

“Hari ini berlangsung sesi libat urus Tribunal Anti-Buli di Putrajaya, yang menghimpunkan pandangan pelbagai pihak bagi memperkukuh usaha membanteras budaya buli di semua peringkat masyarakat,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Sesi libat urus yang dianjurkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Fahmi.

Terdahulu, Azalina berkata sesi libat urus berkenaan akan diteruskan di beberapa negeri lain termasuk di Selangor, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Perak bermula minggu hadapan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan rang undang-undang berkenaan antibuli itu dijangka dibentangkan di Parlimen sesi Oktober ini selepas selesai sesi libat urus berkenaan.