KUALA LUMPUR, 12 Mac — Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan berkompromi sekiranya hasil siasatan kes kematian seorang doktor pelatih wanita di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai, Kelantan baru-baru ini dikesan mempunyai unsur buli.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan sedang menjalankan siasatan dalaman secara menyeluruh di samping siasatan oleh pihak polis.
“Saya tidak mahu membuat apa-apa tuduhan awal, kita perlu tahu dan ada maklumat menyeluruh sebelum menentukan ia benar-benar buli dan sebagainya itu dalam siasatan.
“Namun saya tidak akan berkompromi andainya wujud anasir-anasir ataupun elemen buli,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Mohd Hasbie Muda mengenai kes seorang doktor pelatih wanita itu ditemukan meninggal dunia di sebuah bilik di hospital berkenaan pada Jumaat lepas.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Halim Suleiman mengenai dakwaan budaya buli terhadap doktor pelatih, Dzulkefly berkata pengarah hospital dan ketua jabatan telah diarahkan untuk mengambil tindakan segera terhadap sebarang budaya toksik itu.
“Bukan sahaja pegawai perubatan pelatih tetapi pegawai perubatan juga kita hendak lindungi termasuk jururawat. Kita perlu mewujudkan suasana kerja yang adil, harmoni, saling menghormati dalam satu pasukan untuk memberi ihsan kepada pesakit dan sesama mereka sendiri,” katanya.
Beliau berkata setiap aduan wajib disiasat segera tanpa melindungi mana-mana individu selaras dengan pemerkasaan pekeliling perkhidmatan sedia ada yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Pekeliling berkenaan antara lain melarang penggunaan bahasa kasar, maki hamun dan penghinaan secara terbuka dalam kalangan penjawat awam termasuk petugas kesihatan.

















Tinggalkan Balasan