KUALA LUMPUR, 8 Dis — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) perlu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana kontraktor yang bersikap sambil lewa atau gagal melaksanakan projek yang diberikan mengikut jadual ditetapkan.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata perkara itu penting kerana KKR merupakan kementerian yang bertanggungjawab terhadap pelbagai projek pembangunan membabitkan kepentingan rakyat.
“Kena sentiasa ada usaha untuk kita percepatkannya kerana misalnya ada orang memerlukan jambatan itu siap pada Januari tetapi tertangguh hingga Februari, sebulan dia derita… tertangguh lagi enam bulan, dia sengsara, tertangguh 10 bulan jadi dukalara.
“Banyak projek infrastruktur ini tonggaknya KKR, jika berjaya, berjayalah pembangunan itu… jadi, kementerian perlu senaraikan semua projek, berapa ratus projek atau mungkin ribu di negara kita… pastikan rekod prestasi mereka, jangan tunggu sehingga selesai… kalau asyik sambil lewa dan lambat, kita nak (KKR) ambil sikap lebih keras pada kontraktor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KKR di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Timbalannya Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.















Tinggalkan Balasan