KUSKOP Perkukuh Kerjasama Dengan BPMB Perluas Akses Pembiayaan Usahawan – Ramanan

KUALA LUMPUR, 12 Jun — Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) akan memperkukuh kolaborasi dengan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam meluaskan akses pembiayaan kepada kumpulan usahawan yang berpotensi, terutamanya golongan belia, wanita dan komuniti India.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata beberapa cadangan strategik berkenaan perkara itu telah dibincangkan ketika menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi BPMB Datuk Sulaiman Mohd Tahir dan Ketua Pegawai Eksekutif bank itu Datuk Muzaffar Hisham.

“Saya yakin sinergi itu akan membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan dan memperkukuh ekosistem keusahawanan negara ke arah lebih mampan dan inklusif,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Ramanan berkata pertemuan itu diadakan susulan perkembangan penting yang menyaksikan EXIM Bank dan SME Bank menjadi anak syarikat milik penuh BPMB berkuat kuasa 1 May 2025 dan menyifatkan ia  penyusunan semula yang strategik dalam memperkukuh rangkaian institusi kewangan pembangunan negara.

Beliau berkata pertemuan itu membuka ruang perbincangan konstruktif mengenai peranan penting BPMB dalam menyokong agenda pembangunan negara, khususnya melalui pembiayaan pembangunan berimpak tinggi yang mampu memacu pertumbuhan sektor keusahawanan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Saya menyambut baik komitmen BPMB dalam menerajui pembiayaan yang selari dengan aspirasi nasional di bawah kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan prinsip kemampanan, kemakmuran, dan kesejahteraan rakyat secara inklusif,” katanya.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda