Li Qiang Tiba Di Malaysia Untuk Hadiri Sidang Kemuncak Asia Timur

SEPANG, 26 Okt — Perdana Menteri China Li Qiang tiba di Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-20 bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. 

Pesawat khas yang membawa Li dan delegasinya mendarat di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 4.17 petang dan disambut oleh Menteri  Pengangkutan  Anthony Loke.

Li kemudian memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Menurut laman web rasmi Kementerian Luar China, beliau dijadualkan menghadiri EAS pada esok di samping menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga ke-28, dan Mesyuarat Pemimpin Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) kelima. 

Kehadiran Li pada sidang kemuncak itu atas undangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum ini, Li pernah berada di negara ini untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China yang berlangsung dari 26 hingga 28 Mei, juga atas undangan Perdana Menteri selaku Pengerusi ASEAN 2025.

Terdahulu, Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung tiba pada 2.45 petang dan disambut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Kehadiran Lee di Kuala Lumpur menandakan kunjungan pertama beliau ke Asia Tenggara sejak memegang jawatan pada Jun.

Beliau dijadual menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN dan akan membincangkan mengenai usaha Perkongsian Strategik Komprehensif Korea Selatan dengan negara anggota ASEAN selain menyertai Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga yang melibatkan Korea Selatan, Jepun dan China.

Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN 2025, menjadi tuan rumah kepada pemimpin negara anggota ASEAN termasuk 30 pemimpin dunia seperti Amerika Syarikat, China, Jepun, Korea Selatan, Brazil, Australia, New Zealand dan Afrika Selatan, untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama sambil menangani cabaran serantau dan global yang menjadi kepentingan bersama.