Loke Akan Atur Pertemuan Selesai Pertikaian Cukai Tanah Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 21 Mac — Setiausaha Agung DAP Anthony Loke akan mengatur pertemuan antara Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan bekas Ketua Menteri Lim Guan Eng bagi menyelesaikan pertikaian berterusan mengenai kadar cukai tanah baharu di negeri itu.

Beliau berkata kepimpinan pusat parti amat bimbang dengan pertelingkahan terbuka dua pemimpin itu yang disifatkan sebagai tidak sihat serta tidak sesuai, terutamanya dalam ketidakpastian geopolitik dan ekonomi semasa. 

“Sebarang perselisihan faham, terutamanya daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) penyokong kerajaan mengenai keputusan kerajaan negeri harus ditangani melalui mekanisme dalaman sedia ada dan bukannya disiarkan secara terbuka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata walaupun terdapat keperluan untuk mengkaji semula kadar cukai tanah di zon komersial bagi memastikan kemampanan kewangan kerajaan negeri, pendekatan itu mestilah seimbang, responsif dan bertimbang rasa.

Beliau berkata secara khususnya, cukai tanah yang melibatkan institusi pendidikan seperti sekolah awam tidak seharusnya dinaikkan secara berlebihan dan kadar nominal perlu dikenakan.

Kerajaan negeri telah melaksanakan semakan kadar cukai tanah dan klasifikasi tanah luar bandar kepada bandar bagi seluruh Pulau Pinang mengikut peruntukan Seksyen 101 Kanun Tanah Negara (Akta 828) yang berkuat kuasa 1 Jan.

Pelaksanaan semakan kadar cukai tanah itu melibatkan hampir 370,000 hak milik tanah di seluruh Pulau Pinang meliputi pelbagai kategori dan kegunaan tanah termasuk kediaman, komersial, industri, pertanian dan kategori khas lain.

Chow sebelum ini menyatakan kekesalan terhadap pihak tertentu yang cuba mensensasikan kenaikan itu tanpa memahami pengiraan dan penggunaan tanah sebenar.