MELAKA, 11 Sept — Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini menegaskan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh kerjasama dengan China dalam usaha membanteras jenayah rentas sempadan, khususnya penipuan dalam talian, demi menjamin keamanan dan kestabilan serantau.
Beliau berkata demikian pada mesyuarat dua hala bersama Naib Menteri Keselamatan Awam China merangkap Pesuruhjaya Pentadbiran Imigresen Kebangsaan (NIA) Wang Zhizhong, yang diadakan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-19 di sini, hari ini.
Saifuddin Nasution turut menyampaikan penghargaan mendalam terhadap hubungan erat yang terjalin antara kedua-dua negara, baik secara dua hala mahupun dalam kerangka ASEAN.
“Ancaman seperti pemerdagangan manusia, jenayah siber, narkotik, keganasan dan pengubahan wang haram tidak mengenal sempadan, justeru memerlukan kita memperkukuh kerjasama serantau,” katanya.
Beliau menekankan keperluan melaksanakan program pembangunan kapasiti, latihan bersama serta perkongsian maklumat secara masa nyata bagi meningkatkan keberkesanan kerjasama antara agensi penguatkuasaan undang-undang.
Saifuddin Nasution turut mengalu-alukan kerjasama lebih erat di bawah mekanisme AMMTC+China, termasuk pelaksanaan Pelan Tindakan ASEAN-China mengenai Jenayah Rentas Sempadan.
Beliau mencadangkan penganjuran bengkel dan dialog berkala, khususnya dalam bidang pencegahan jenayah siber dan memerangi keganasan, selain kerjasama dalam bidang forensik digital, analisis data besar serta aplikasi kecerdasan buatan (AI) untuk penguatkuasaan undang-undang.
Pada peringkat dua hala, beliau berkata Malaysia berhasrat menubuhkan kumpulan kerja khusus mengenai jenayah rentas sempadan bagi melengkapkan mekanisme ASEAN, selain mengalu-alukan pertukaran melalui akademi polis, pemberian biasiswa serta penyelidikan bersama pencegahan jenayah.
“Kami yakin dengan memperkukuh kerjasama dalam kerangka ASEAN, kita mampu mencapai kemajuan bermakna dalam melindungi penduduk daripada ancaman jenayah rentas sempadan,” tambahnya.
Turut hadir ialah pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri termasuk Ketua Setiausaha Datuk Awang Alik Jeman, Setiausaha Bahagian Keselamatan Mohd Azlan Razali serta Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Imigresen Dr Hebat Hisham Mohd Yusoff.
Delegasi China pula diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kerjasama Antarabangsa Kementerian Keselamatan Awam, Tan Jun; Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Warga Asing NIA, Chen Yongli; dan Ketua Pengarah Jabatan Pentadbiran Keluar Masuk Warganegara China NIA, Xiong Shuren.
Mesyuarat AMMTC ke-19 yang berlangsung di Melaka dari 8 hingga 12 Sept ini menghimpunkan menteri-menteri ASEAN serta pegawai kanan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang bagi memperkukuh kerjasama serantau membanteras jenayah rentas sempadan.
Tinggalkan Balasan